Tuesday, May 17, 2011

Akulah Guru, Akulah Rockers, dan sebenar aku adalah....

Tahun 1981, umur aku 7 tahun. Aku mulakan alam persekolah darjah 1. Bersemangat benar aku nak ke sekolah, kerana pada aku, bila masuk sekolah ni, bererti aku dah besar. Emak pun nasihat aku, pergi sekolah nanti, kena dengar cakap cikgu. Kena hormat pada cikgu. Jangan melawan cakap cikgu.

Tiba sahaja di sekolah, cikgu tanya aku, “Hairere bila besar nanti nak jadi apa?” . Aku sendiri tak tahu aku nak jadi apa bila dah besar nanti. Mana aku tahu, aku nak jadi apa. Namun, disebabkan yang bertanya tu seorang guru, dan aku perhatikan cikgu ni semua orang hormat. Sebelum pergi sekolah pun, mak aku dah pesan, “dekat sekolah kena dengar cakap cikgu.” Kerana nak menjawab soalan dari seorang guru, aku pun berkata “saya nak jadi CIKGU.” Dan perkara ini berterusan dari setahun ke setahun, setiap kali bertukar tahun, dari darjah 1, ke darjah 2, 3 dan seterusnya, bila cikgu tanya “apa cita-cita kamu?” aku menjawab… “nak jadi cikgu” Walau aku sendiri tak tahu, betul ke itu cita-cita aku yang sebenar.

(ini gambar semasa darjah 4. Cari sendiri ler, mana aku)

Sekitar tahun 1984-1986, aku masih berada di sekolah rendah (darjah 4 – darjah 6). Masa ni, bila cikgu tanya apa cita-cita kamu, aku masih jawab “nak jadi cikgu”. Walau aku dah tak minat sebenarnya nak jadi cikgu, sebabnya kalau aku jadi cikgu, aku tak boleh jadi ‘rockers’. Masa ini, aku dah mula dipengaruhi dengan dunia ‘Rockers”.

Sebelum tu, nak beritahu juga, sebelah rumah aku adalah tempat budak-budak muda kampung aku melepak. Mereka melepak dengan memakai seluar jean koyak, bermain gitar kapuk, melalak dengan gitar kapuk sampai ke malam. Aku selalu perhati brader-brader tu melepak, sambil main lagu-lagu Sweet Charity, Kembara, Blues Gang dan kekadang lagu Loudness dan Earthsheaker dan sebagainya. Aku pun minat nak main gitar dan aku mula didedahkan dengan dunia ‘rockers’. Dunia rockers semakin mempengaruhi aku. Semakin hari, aku semakin didedahkan dengan dunia rockes. Sekitar 1984—1986, memang golongan muda-mudi Malaysia dikejutkan dengan dunia rockers. Tertubuhkan band seperti ‘Search”, ‘Lefthanded’, ‘Rusty Blade’ dikuatkan pula dengan gabungan band-band “Battle of The Band” dan “Juara-Juara Rock”. Aku mula minat nak jadi ‘mat rock’. Kini, baru aku sedar, cita-cita aku sebenar ialah nak jadi rockers. Nak jadi macam Amy Search, Man Kidal, Yantzen.

Menambahkan minat aku nak jadi ‘mat rock’ bila orang kampung aku sendiri iaitu Kampung Manjoi ada band rock yang menghasilkan album. Munculnya band ”SYJ” dan “MAY” makin menguatkan aku nak jadi mat rock. Perghhh, sikit punya bangga ker beb, SYJ dan MAY tu orang Manjoi. Zaman ini, rockers lah yang mempengaruhi aku.

Aku dah tak minat nak jadi cikgu. Kalau jadi cikgu, aku tak boleh minat muzik rock. Kalau jadi cikgu, aku kena jadi ‘mat belia’, tak rock ler bab! Kena sikat rambut belah tepi, kena pakai seluar slack. Tak boleh simpan rambut panjang. Tak rock ler macam ni! Sedangkan, cita-cita aku kini ialah, nak simpan rambut panjang, nak pakai seluar jeans koyak, nak main gitar macam Man Kidal. Namun begitu, bila cikgu aku tanya, “Hairere, cita-cita kamu nak jadi apa?” aku tetap jawab nak jadi cikgu. Takkan aku nak jawab “cita-cita saya nak jadi rockers”, sah aku kena rotan kalau jawab macam tu.

Tahun 1987, Aku mula memasuki alam sekolah menengah. Tingkatan Satu. Aku rasa dah makin besar, dan dah tak sabar-sabar nak meninggalkan alam sekolah. Sebab, bila habis sekolah, baru aku boleh betul-betul jadi Mat Rock! Aku tak minat sekolah dah, tapi sebab mak ayah suruh juga pergi sekolah, pergi jugak ler. Semakin hari aku semakin Rock. Kini, aku beralih kepada rock yang lebih keras. Aku mula minat “Metallica”, “Megadeath” dan sebagainya. Aku pun dah pandai main lagu “Seek and destroy (Metallica)”.

Sekitar 1989, aku Tingkatan 3. Kini dunia Thrash mula melanda anak muda. Thrash lebih keras dari rock. Irama metal dan thrash mempengaruhi aku. Kali ni aku dah tak layan Rock Malaysia. Kini aku layan band rock barat seperti Kreator, Sodom, Slayer. Aku makin tak minat nak jadi cikgu. Mana boleh aku jadi cikgu. Kalau jadi cikgu, aku tak boleh berambut panjang dan berseluar jeans koyak. Namun, di sekolah menengah, bila cikgu tanya, “Hairere dah besar nanti nak jadi apa”. Aku jawab, “jadi cikgu”. Kawan-kawan semua ketawa, “Mat Trash nak jadi cikgu… gila ker?”. Aku sengeh jer. Cikgu aku pun geleng kepala, aku tahu cikgu tu pun tak percaya yang aku akan jadi cikgu, cikgu tu mesti ingat aku ni akan jadi mat thrash…sampah masyarakat yang tak ada masa depan.

1990 – Aku tingkatan 4. Alhamdulillah, ‘mat rock’ ni lulus juga SRP, dapat masuk form 4. Semasa tingkatan 4, aku makin metal. Kali ni, aku dah mula pandai ‘melepak’ di SYJ studio. Aku dah mula tengok band-band Thras dari Ipoh, jamming di sini. Aku semakin bersemangat untuk jadi seperti mereka. Cita-cita aku nak memiliki gitar letrik jenama krammer. Masa ni, aku cukup minat dengan Metallica. Blackend beb! Kirk Hammet, Lars Ulrich, Jason Newsted, James Hetfield mempengaruhi aku. Majalah Kerrang menjadi langganan aku. Walau majalah ni dalam Bahasa Inggeris, dan aku tak pandai BI pun, tapi aku minat tengok poster band-band Metal dari luar negara.

Masa ni, aku pun dah ada band sendiri. Jangan tak caya pulak. Aku main bass beb! Cita-cita aku kini nak jadi pemain bass terbaik. Nak ganti “Cliff Burton” (bassist Metallica). Aku dah buang jauh-jauh cita-cita untuk menjadi seorang CIKGU. Dah tak masuk dalam kamus hidup aku untuk jadi seorang CIKGU.

Namun, bila di sekolah, macam biasa soalan yang membosankan akan ditanya oleh cikgu, ”apa cita-cita kamu”. Aku pun jawab, “nak jadi cikgu”. Cikgu tu sengeh jer tak percaya. Macam biasa, kawan-kawan aku juga tak percaya termasuk aku sendiri tak percaya aku akan jadi cikgu.

Tahun 1991 – Aku tingkatan 5, akan menduduki SPM beb! Walau tahun ini aku akan menduduki SPM, namun aku masih aktif dengan jamming lagu-lagu Metal. Aku tak fikir sangat untuk menduduki SPM ni. Nak jadi macam Lars Ulrich, tak perlu SPM, so apa perlu aku belajar. Namun, demi menjaga hati ‘bonda’ tercinta, aku pergi juga ke sekolah. Balik sekolah sebelah petang, lepak main gitar kapuk. Cuti sabtu-ahad, pergi SYJ Studio.

Beberapa bulan sebelum SPM, mak aku dah kuat bebel sebab tengok aku tak belajar, asyik melepak jer. So, aku pun belajar jugak ler sikit-sikit, demi menjaga hati ‘bonda tercinta’. Mak selalu nasihat, suruh sembahyang dan belajar sungguh-sungguh. Nanti dapat kerja bagus…. Jadi cikgu ker…. Dan jadi manusia berguna, manusia beragama. Aku dengar ajer, sambil angguk kepala. Memang aku tahu, di lubuk hati dia, dia ingin melihat anak dia ni jadi cikgu.

November 1991 – Saat paling aku tunggu-tunggu dah tiba. Aku habis menduduki SPM, bererti aku tak perlu pergi sekolah lagi. MERDEKA! Bebas aku dari dibelenggu dengan undang-undang sekolah. Aku dah boleh simpan rambut panjang. Dah boleh jadi 100% Mat Metal. Aku aktif semula dengan jamming. Perkara pertama sekali aku lakukan lepas sekolah…. Simpan rambut panjang. Hahaha. Barulah Rock Beb!

Tahun 1992 – Result SPM keluar. Walau aku belajar lebih kurang, tetapi result aku tidak mengecewakan. Cikgu-cikgu yang sengeh bila aku beritahu cita-cita aku nak jadi cikgu, tak percaya result yang aku dapat. Kawan-kawan pun terkejut jugak. Mat rock ni dapat pangkat satu yek…. Hehehe. Aku pun tak percaya jugak beb!

Macam biasa, bila result keluar, macam-macam borang kena isi. Borang U, Politeknik, ITM, dan akhir sekali borang maktab. Aku tak minat sebenarnya, tapi isi jugak ler. Nak jadi macam Cliff Burton tak perlu isi borang tu beb! Tapi, demi menjaga hati bonda tercinta, aku turutkan sahaja. Macam-macam borang aku isi. Dan… ibu aku beritahu… dia lebih suka kalau aku jadi CIKGU. Adusssss…. Nak suruh aku jadi cikgu? Cikgu ajar main gitar lagu metallica boleh ler. Namun, aku turutkan jua nasihat mak aku, borang maktab pun aku isi.

1993 – Aku diterima memasuki Maktab Perguruan Batu Pahat (Pengajian Matematik – sebab math aku dapat A2 beb! hahaha). Rambut aku panjang, kalau masuk maktab kena potong rambut… oh, tidak! Aku tak minat sebenarnya. Namun, demi memenuhi hajat seorang ibu… Julai 1993 aku pun bergelar seorang ‘GURU PELATIH’.

1993-1995 – Aku kini bergelar guru pelatih (bakal cikgu beb!). Dunia aku dah berubah. Namun begitu, aku masih minat pada muzik metallica dan Nirvana. Di sini juga, aku banyak belajar untuk menjadi manusia. Aku mula minat pada penulisan sastera dan puisi… hahahaha. Baru aku sedar, aku pun ada bakat dalam dunia penulisan kreatif ni beb! Hehehe.

Semasa di Maktab jua lah, aku dikenalkan dengan apa itu usaha agama yang orang panggil ‘jemaah tabligh’. Ada seseorang teman ajak aku pergi Markas tabligh di Jalan Lim Pon, Batu Pahat. Jemaah Tabligh? Apa dorang buat yek. Kerana keinginan itu, aku pun pergi ler ke markas tabligh. Kami, student-student maktab ni, dilayan istimewa sikit. Diberi makan special dan dapat makan ais krim. Kira ok ler tu.

Terus terang cakap, pertama kali pergi markas tabligh tu, aku tak paham apa pun ceramah yang disampaikan. Yang aku tahu, lepas isyak tu dapat makan dalam satu dulang, sedap beb. Sebagai pelajar, dengan elaun yang tak cukup, bila dapat makan free jer, seronok bukan main ler.

Beberapa kali juga aku pergi markas di situ. Bukan nak dengar bayan sangat pun. Aku pergi semata-mata sebab dapat makan free. Bila dorang tanya azam aku, suruh bagi nama azam keluar jalan Allah, aku bagi ajer ler nama, walau aku tak faham apa-apa sangat.

November 1995. Aku tamat belajar di MPBP dan aku mula posting mengajar di SK Tunjuk Laut, Kota Tinggi Johor. Akhirnya, BENARRRR AKU JADI JUGA SEORANG GURU! Cita-cita yang selalu aku beritahu pada cikgu-cikgu aku dulu!

AKU KINI SEORANG GURU MALAYSIA! SELAMAT HARI GURU UNTUK SEMUA CIKGU-CIKGU YANG PERNAH MENGAJAR AKU DAHULU, YANG PERNAH MARAH AKU, YANG PERNAH MEROTAN AKU DAN YANG PERNAH MEMBEBEL KAT AKU.

SELAMAT HARI GURU UNTUK SEMUA RAKAN-RAKAN GURU DI MPBP, SKTL, UPSI, SMKRC. SELAMAT HARI GURU KEPADA SEMUA GURU DI DUNIA. DAN SELAMAT HARI GURU KEPADA AKU JUGAK.…HEHEHEHE.

Catatan tambahan untuk renungan bersama :

Semasa mengajar di SK Tunjuk Laut (1995-2000) ini jua, ada seorang cikgu di sini aktif dalam jemaah tabligh. Dia selalu ajak aku (taskel) pergi ke markas tabligh di Johor Bahru. Memandangkan aku dah memang pernah kenal sedikit dengan usaha jemaah tabligh ini semasa di maktab dahulu, memudahkan untuk aku ikut dia pergi ke markas JB. Dari sinilah bermula aku mengenal keluar 3hari, 40hari dan 4 bulan.

Dari sini, bermulalah dunia baru bagi aku.

Kini aku selalu mengingatkan diri aku, dan aku juga nak ingatkan pada semua guru dan juga bukan guru….. “Kejayaan Manusia yang sebenar hanya apabila seseorang itu taat pada perintah Allah swt dan, mengikut cara hidup Baginda Nabi S.A.W”. “Walau kita seorang doktor, engineer, guru, kerani, pekerja kilang, pekebun, peladang…. Itu satu keperluan sahaja. Maksud kita dihantar adalah untuk menjadi penyambung kepada kerja nabi saw.”

...dan sebenarnya aku dan tuan-tuan semua adalah ummat nabi saw, dan bertanggungjawab untuk menyambung kerja nabi saw.


(catatan tambahan : aku di SK Tunjuk Laut tahun 1993-2000. Tahun 1999 aku kahwin. Tahun 2001-2004 aku sambung belajar di UPSI. Tahun 2004 hingga kini, aku mengajar di SMK Raja Chulan Ipoh)

Syeikh Nuruddin al Banjari - Penerangan Tentang Jamaah Tabligh (1)

Anda juga mungkin meminati:

Related Posts with Thumbnails