Sunday, February 15, 2009

Dijerit Gelap, Gelap Takkan Hilang

Bayangkan jika kita berada dalam sebuah bilik yang gelap. Tak nampak apa-apa. Kita pun menjerit "gelap...gelap... gelap tolong pergi, aku tak nampak apa-apa!!!!" Jerit ler sehingga terkeluar anak tekak sekalipun, adakah gelap tersebut akan hilang?

Semua kita faham, gelap takkan hilang jika kita sekadar menjerit atau mengatakan "gelap,...gelap...gelap..." sahaja. Namun gelap hanya akan hilang apabila kita membawa cahaya (nyalakan lampu atau nyalana lilin). Dengan membawa cahaya, gelap sendirinya akan pergi, dan bilik akan terus diterangi.

Begitulah kita hari ini. Ramai antara kita kerap bising tentang kebatilan dan kemaksiatan. Heboh orang cerita pasal batil sana, batil sini, maksiat sana maksiat sini. Kat surat khabar, kat tv, kat majalah asyik menceritakan tentang kemaksiatan yang makin bermaharajalela. Kat warung kopi, kat anjung masjid, kat dewan negara, kat dalam masjid, kat dalam ceramah agama, kat dalam kem motivasi... semua sibuk cerita tentang kemaksiatan dan keruntuhan akhlak remaja hari ini.

Adakah dengan sekadar menceritakan dan menghebohkan mengenai kebatilan dan kemaksiatan ni, kemaksiatan akan hilang? Kita umpamakan kebatilan dan kemaksiatan ini bagaikan satu kegelapan. Gelap akan hilang hanya bila kita membawa sinar cahaya. Apakah cahaya yang perlu kita bawa.

Setiap amalan nabi mempunyai Nur(cahaya) yang tersendiri. Nur amalan nabi bagaikan cahaya matahari yang menerangi seluruh muka bumi. Dengan nur(cahaya) amalan nabi inilah semua kegelapan (kebatilan dan kemaksiatan) di muka bumi ini akan hilang. Dan hari ini, apabila kita bangun atas maksud untuk menghidupkan amalan nabi ini, kita bagaikan bulan yang menumpang cahaya matahari untuk menyinari bumi.

Apakah amalan nabi yang dapat menyinari bumi dan menghilangkan kegelapan manusia (kebatilan dan kemaksiatan)? Apabila nabi s.a.w berhijrah ke Madinah, nabi telah membawa cahaya untuk menyinari Madinah hingga dikenali sebagai Madinah al-Munawarrah (bandaraya bercahaya). Apakah amalan yang nabi buat.

Sesampai sahaja ke Madinah, perkara pertama yang nabi lakukan ialah membangunkan masjid. Harus difahami, nabi membangunka amalan masjid, bukan sekadar membangunkan bangunan sebuah masjid. Masjid itu adalah amalan di dalamnya, hari ini kebanyakan kita faham masjid itu sekadar sebuah bangunan.

Apakah amalan masjid yang telah nabi hidupkan? Nabi telah membangunkan masjid Nabawi dengan empat amalan utama.

Pertama: Amalan Dakwah
Hidupnya Masjid Nabawi dengan amalan Dakwah. Sepanjang masa pasti ada halqah (sekumpulan) manusia yang berkumpul untuk menceritakan kehebatan dan kebesaran Allah. Membawa fikir manusia daripada kehidupan dunia yang sementara kepada kehidupan akhirat yang kekal abadi. Daripada nilai Mal (harta) kepada nilai amal.

Kedua : Amalan Taklim Taklum (Belajar dan mengajar)
Sekiranya tiada halqah dakwah, pasti ada sekumpulan sahabat yang sedang membacakan atau mengajarkan hadis-hadis atau sabdaan-sabdaan nabi saw. Proses belajar dan mengajar terbahagi kepada dua perkara iaitu perkara berkaitan hukum (masail) dan perkara berkaitan kelebihan-kelebihan amal (fadail amal).

Ketiga : Amalan Ibadat
Sepanjang masa juga akan ada sahabat yang sedang melakukan badat. Ibadat seperti solat-solat sunat, tilawatul Quran, zikir dan doa.

Keempat : Khidmat
Amalan keempat iaitu khidmat. Amalan khidmat juga sentiasa wujud di dalam masjid Nabawi.

Dengan keempat-empat amalan inilah, Masjid Al-Nabawi telah hidup dengan amalan sepanjang 24 jam. Dengan amalan-amalan inilah, cahaya (Nur) telah menerangi madinah bukan sekadar di Madinah, bahkan ke seluruh alam hingga hari kiamat.

So, hari ini kita tutup cerita tentang kebatilan dan kemaksiatan di sana sini. Kemaksiatan dan kebatilan ini bagaikan kegelapan, yang takkan hilang kalau kita sekadar bising dan cakap...cakap dan cakap sahaja. Sebaliknya usaha perlu dibuat. Apakah usahanya??? Ya, kita (khasnya aku ler) kena bangun untuk hidupkan masjid-masjid di tempat kita dan masjid-masjid di seluruh alam dengan amalan-amalan masjid Nabawi di zaman nabi. Amalan-amalan inilah bagaikan Nur (Cahaya) yang akan menerangi bumi hingga hari kiamat.

Monday, February 9, 2009

Suka, Duka, Kecewa, Gembira Semuanya Sementara

Kisah ni perlu dibaca dengan berfikir...

Ada seorang isteri sedang bersedih menanti kepulangan suami tercinta dari tempat kerja. Yelah, suami balik lambat dari tempat kerja, isteri bersedih ler. Dalam kesedihan menanti kepulangan suami yang balik agak lambat ni, tiba-tiba pintu dibuka dan suami pun bagi salam. Isteri menunjukkan wajah yang marah dan kecewa sebab si abang balik lambat.

Tanpa cakap banyak, si suami terus bagi sejambak bunga pada si isteri. Si Isteri yang dari tadi marah dan sedih bertukar menjadi gembira dan suka. Sekelip mata sedih bertukar menjadi gembira.

Kemudian si suami beritahu bahawa beliau dinaikkan pangkat, gaji juga naik, bertambah lebih kurang RM2000 sebulan. Bila mendengar perkara ni, si isteri yang sedang tersenyum gembira menerima sejambak bunga bertambah-tambah ler gembiranya. Ye lah, suami naik pangkat dan gaji jugak naik kan...

Kemudian si suami tadi beritahu lagi, sebab dia naik pangkat so, dia kena ditukarkan ke Sabah. Si isteri terpaksa ditinggalkan di semenanjung. Apa lagi, si isteri tadi yang sedang amat-amat suka dan gembira bertukar menjadi sedih dan kecewa pulak. Air mata dah mula nak menitis.

Si suami mula memujuk, tak per berpisah pun bukan lama pun. Tambahan pulak, bila bekerja di Sabah ni, elaun dia banyak. Gaji bertambah, elaun pulak banyak so tiap-tiap bulan abang akan masukkan duit pada u punya akaun, so u boleh beli macam-macam. Mendengar ni, si isteri tadi dari sedih dan kecewa terus suka dan gembira.

Dipendekkan cerita, tibalah pada malam hari sebelum si suami berangkat ke Sabah. Tiket kapal terbang si suami jam 6.30 pagi, malam tu suami isteri ni pun leka ler berbincang-bincang. Suami isteri tu pun berangan-rangan ler dgn duit tiap-tiap bulan nak beli itu-ini. Nak beli kereta baru, rumah baru, langsir baru, macam macam baru. Berangan punya berangan, suami isteri ni pun lewat tidur. Sebelum tidur, si suami berpesan kepada isteri agar kejutkan awal sebab kapal terbang esok kul 6.30 pagi...

Esok paginya, si isteri tersedar dari tidur, dia tengok jam dah pukul 8.00 pagi, bererti suaminya dah terlepas kapal terbang ke Sabah. Si isteri ni pun sedih yang teramat sangat kerana tak dapat kejutkan suaminya. Isteri pun kecewa dan takut suaminya marah.

Untuk menyejukkan hati suami, si isteri pun tak mahu mengejutkan suaminya dahulu (sebab kalau kejut pun kapal terbang dah terlepas) so si isteri bercadang untuk membuat sarapan yang istimewa sebelum suaminya bangun tidur. Moga-moga sejuk hati si suami, dan masalah tiket kapal terang boleh ambil sebelah petang atau malam. Biarlah tiket tu kira burn jer...

Isteri ni pergi pasar dan beli barang untuk masak special untuk suami tersayang. Bila dia balik rumah, si isteri perhatikan suaminya masih lagi tidur. Isteri ni pun suka, sebab masih ada masa untuk beliau masak special, biar bila suaminya bangun tidur jer, hidangan special telah tersedia dan kesedihan suami yang terlepas kapal terbang akan bertukar menjadi suka dengan hidangan istimewa.

Sedang si isteri masak, si isteri terdengar berita terkini melalui radio mengatakan kapal terbang dari kuala lumpur ke Sabah (yang patut dinaiki suaminya) telah terhempas. Semua penumpang dipercayai mati terbunuh. Apa lagi, si isteri pun syukur dan gembira yang teramat-amat sangat. Beliau pun menyiapkan sarapan istimewa dan terus menuju ke bilik suami tak sabar untuk memberitahu berita gembira tersebut.

Si isteri ni kejut ler suaminya. Kejut puna kejut, suaminya tak jaga-jaga juga. Rupanya si suaminya dah meninggal dunia. Apa lagi, dari gembira tadi terus ler si isteri sedih yang teramat-amat sangat.

Hilang terus angan-angan beliau untuk memiliku rumah baru, kereta baru, langsir baru dan semua yang baru-baru... SEKIAN...

Pengajaran :

Beginilah hakikat kita kat dunia ni, sekejap suka sekelip mata duka, sekejap lagi suka semula.... semuanya bersifat sementara....

Hakikatnya, gembira yang sebenar apabila mendapat redha Allah dan dapat masuk syurga Allah. Kecewa yang sebenar ialah kecewa apabila tidak mendapat redha Allah....

nota tambahan :
kat negeri aku sekarang ni, ada 2 MB (malas nak komen mana satu yang halal dan mana yang haram). Cuma nak bagi tau, yang kecewa tu, kecewa hanya sementara, yang sedang bersuka tu suka hanya sementara....
Allah maha mengetahui..


Sunday, February 1, 2009

Tiga Jenis Iman

Alhamdulillah, hari ini kita yang telah mengucap kalimah syahadah telah mempunyai iman, walau tidak diketahui tahap iman kita itu.

Ulama ikram bagitau, terdapat 3 jenis iman bagi manusia ini.

1) IMAN BERASASKAN MUKJIZAT

Iman begini sebagaimana iman yang dimiliki oleh kaum Bani Israel. Mereka beriman setelah mereka melihat mukjizat Nabi Musa a.s. Setelah mereka melihat tongkat menjadi ular, melihat laut terbelah baru mereka beriman kepada Allah swt. Iman berasaskan mukjizat ini, iman yang kurang MANTAP akan kenyakinannya. Sebagaimana kaum Bani Israel, apabila Nabi Musa meninggalkan mereka selama 40 hari, mereka kembali kufur pada Allah swt dengan menyembah lembu.

2) IMAN WARISAN

Iman begini, sebagimana yang dimiliki kebanyakan kita hari ini. Kita Islam kerana ibu bapa kita seorang Islam. Iman sebegini juga kurang KEMANTAPANNYA. Orang yang mendapat iman hanya kerana diwarisi, mudah tercabut iman mereka kerana nilai-nilai iman tersebut tidak tertanam di dalam hati.

3) IMAN DENGAN MUJAHADAH

Iman begini, sebagaimana iman yang dimiliki oleh para sahabat r.hum. Sahabat nabi asalnya tidak beriman, mereka beriman dengan membuat usaha atas iman, dengan mengharungi dugaan demi dugaan. Kesan iman sebegini, keyakinan menjadi MANTAP! Contoh seperti Hazrat Bilal r.a. Walau dicemeti setiap hari, disiksa dengan berbagai-bagai seksaan, namun iman di dalam hati tidak tercabut keluar.

So hari ini, umumnya kita telah memiliki iman warisan. Kita ISLAM kerana dilahirkan dikalangan ibu bapa ISLAM, so kita kena usaha iman yang ketiga, iaitu kita kena usaha atas iman yang telah berada di dalam diri kita supaya iman yang ada dalam diri akan terus MANTAP dan boleh kita bawa hingga akhir hayat kita.

Wednesday, January 28, 2009

Nilai Mal VS Nilai Amal

Rasanya ramai dah pernah dengar atau terbaca hadis ni :

Diriwayatkan daripada Hazrat Abdullah bin Umar r.anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda "Sesungguhnya solah berjemaah dua puluh tujuh kali ganda lebih afdal daripada solah bersendirian." (Hadith riwarat Imam Malik, Bukhari dan Muslim)

Persoalannya sekarang, sejauh mana kita memahami nilai 27 kali ganda itu. Berapa ramai antara kita yang telah dapat memahami nilai-nilai amal yang telah dijanjikan oleh Allah SWT melalui sabdaan Baginda Nabi SAW berbanding Nilai-nilai Mal (Harta) yang dijanjikan oleh manusia(makhluk). Kita perhatikan contoh berikut untuk sama-sama kita berfikir.

Katakan, kononnyalah pihak Jawatankuasa masjid di tempat kita telah bermesyuarat, kemudian pihak jawatankuasa bersetuju untuk memberi ganjaran RM27 kepada sesiapa yang datang solah berjemaah di masjid. Salah seorang AJK masjid akan berdiri kat pintu Masjid, sesiapa datang jer untuk solat berjemaah akan dapat cash RM 27. Rasanya pasti dan pasti tak akan ada seorang pun penduduk di tempat kita yang akan meninggalkan solah berjemaahkan. Sebab ganjaran RM27 tu semua kita faham. Bayangkan 1 solat dapat RM27, kalau sehari 5 kali solat 5 X 27 = RM 135. Dapat RM135 sehari beb, tentu penuh masjid tersebut. Dalam keadaan hujan lebat pun rasanya masjid tetap penuh dengan orang ramai yang datang solah berjemaah. Kerana apa? Kerana nilai RM27 ni semua orang faham.

Dengan nilai RM27 ramai antara kita (termasuklah aku ni) faham apa manafaat yang akan kita perolehi. Kalau disimpan RM27 untuk 5 kali solat sehari dapat RM135, lagi ler macam-macam boleh kita buat kan. Kalau disimpan untuk sebulan katakan sebulan 30 hari, 30 X 135 = RM4050. Banyak tu... lagilah macam-macam boleh dibuat. Boleh buat belanja rumah, beli pakaian, bayar duit kereta, macam-macam manafaat ler yang kita faham hari ini.

Tetapi apabila Allah SWT sendiri janjikan 27 ganjaran atau pahala, semua kita tak faham dengan pahala apa manafaat yang akan kita perolehi. Ok ler, mungkin kebanyakan kita tahu, manafaat amal ni akan diperolehi di akhirat nanti. Sebenarnya kita sekadar tahu. Tetapi sejauh mana kita faham dan meyakininya. Sebab tu dikatakan antara tahu, faham dan yakin ni tiga perkara yang berbeza.

So, sama-sama kita tepuk dada tanya iman. Bila dikatakan nilai-nilai amal akan memberi manafaat di hari akhirat kelak, adakah kita sekadar tahu atau faham atau yakin. Manakala bila diberitahu nilai-nilai Mal (HARTA) akan memberi manafaat di dunia ini, adakah kita sekadar tahu atau faham atau yakin.

ALLAH MAHA MENGETAHUI.

Friday, January 23, 2009

Apakah Tanggungjawab Kita Sebagai Ummat Nabi.

Hari ini, apabila kita katakan "saya seorang guru", dengan perkataan "seorang guru" semua orang akan tahu apa kerja "seorang guru". Orang ramai akan tahu, guru tugasnya mendidik, setiap hari dia akan ke sekolah, pakaiannya pula kemas. Apabila guru tidak menjalankan tugasnya dengan sempurna, semua orang akan bising.

Begitu juga, apabila dikatakan "saya seorang doktor". Dengan perkataan "doktor" semua akan tahu apa tugas dan tanggungjawab serta penampilan "seorang doktor". Begitu juga bila dikatakan "seorang petani", pekebun, peladang, pekerja kilang, dan sebagainya. Semua akan tahu bagaimana kerja dan penampilan mengikut bidang-bidang yang tertentu.

Tetapi apabila hari ini, apabila kita mengaku bahawa kita adalah "ummat nabi", kita tidak terfikir pula apakah kerja dan tanggungjawab kita sebagai "ummat nabi". Tambahan pula bila Allah SWT sendiri mengiktiraf kita sebagai "ummat terbaik" (rujuk surah Ali-Imran ayat ke 110), kita tidak pernah pula terfikir apakah tanggungjawab dan kerja kita yang sebenar hinggakan Allah SWT sendiri mengiktiraf kita sebagai ummat yang terbaik.

Apakah dengan sempurna solat lima waktu, pergi haji, puasa di bulan Ramadhan, membayar zakat sudah melayakkan kita diiktiraf sebagai ummat nabi dan ummat yang terbaik berbanding ummat-ummat terdahulu? Sedangkan agama itu sendiri adalah kehidupan. 24jam kehidupan kita perlu bersandarkan pada perintah-perintah agama.

Ummat ini diiktiraf sebagai ummat yang terbaik kerana ummat ini telah diberi tanggungjawab kenabian. Kita dilahirkan bukan sebagai seorang nabi, tetapi bertanggungjawab atas kerja kenabian, iaitu membawa manusia kepada kebaikan dan mencegah manusia daripada kemungkaran. Apabila ummat ini telah meninggalkan kerja kenabian tersebut, kerana itulah kita lihat satu demi satu musibah menimpa ummat ini.

Sebagaimana contoh, apabila sebuah kerajaan melantik seorang itu duta negara, dan di hantar ke sebuah negara lain.Duta tersebut dihantar dengan satu tanggungjawab dan kerja yang perlu di jalankan dengan baik di sana. Segala keperluan tempat tinggal dan sebagainya disediakan. Tetapi, apabila duta tersebut tidak menjalankan kerja dia yang sebenar, sebaliknya hanya melacong ke sana sini, pastilah tugasnya sebagai duta ditarik balik dan segala keperluaannya di sana tidak ditanggung lagi.

Begitulah Allah SWT menghantar kita ke muka bumi ini sebagai duta Allah (khalifah Allah), segala keperluan kita sebenarnya telah tersedia. Namun, apabila kita tidak menjalankan kerja kita yang sebenar (iaitu mengenalkan manusia kepada penciptanya) pastilah masalah demi masalah menimpa ummat ini.

Atas maksud itulah, hari ini kita perlu kembali menjalankan kerja kita yang sebenar.... Bagaimana? nantikan entri yang seterusnya...

Tuesday, January 20, 2009

Adakah Perang Boikot Telah Dicabuli?

Hari ini, apabila rejim zionis dan Hamas bersetuju mengadakan gencatan senjata secara bersendirian, ramai yang tersenyum gembira. Telah dua hari bumi Gaza menikmati ketenangan setelah 22 hari diasak dengan serangan demi serangan oleh puak zionis.Ramai yang lapang dada. Yang sibuk memboikot barangan AS selama ini dah mula mencabuli boikot yang mereka cipta sendiri. Orang ramai yang sibuk berpanas terik berdemontrasi dua tiga minggu lepas, rasanya dah ramai yang mula membeli-belah di TESCO semula. KFC, coca-cola dan semua produk US dah memenuhi ruang dapur kita semula. Kehangatan Boikot dah mula menjadi suam-suam kuku, lepas ni rasanya terus sejuk dan membeku. Barangan US akan terus memenuhi rumah-rumah kita.

Tangisan bumi palestin tidak menyentuh perasaan kita lagi. Bagaimana dengan sembahyang hajat, doa dan tangisan kita untuk ummat palestin? Adakah akan terus lenyap dengan genjatan senjata tersebut. Hehehehe, macam pilihanraya pulak. Bila tiba musim pilihanraya, semua sibuk buat baik nak raih undi, bila habis pilihanraya semua senyap membisu. Bagitulah kita, bila sibuk dengar bumi Palestin dibedil, semua sibuk dengan boikot, sms meminta doa dan sembahyang hajat, demontrasi sana demontrasi sini, boikot itu boikot ini. Diwaktu itu, benci betul dengan Amerika (kononnya). Bila buat genjatan senjata... hehehhe... kita pun rasa dah boleh cabuli boikot yang kita buat tu...

Inilah yang terjadi apabila boikot yang kita lakukan tidak secara menyeluruh. Apabila Palestin diserang, Islam ditindas, kita mula melihat kekejaman Israel dan AS. Dengan perasaan emosi, kita pun berdemontrasi. Kita pun ingin memboikot produk-produk USA. Alhamdulilah, bagus.. Tetapi masalahnya, kita lupa memboikot produk yang paling besar keluaran Yahudi yang berada dalam hati kita hari ini. Hati kita masih hati acuan Amerika, jiwa kita masih jiwa acuan Amerika, bagaimana mungkin kita memboikot barangan-barangan Amerika.

Kerana itulah, dua minggu lepas, apabila seorang teman bertanya apa pandangan saya terhadap usaha boikot yang sedang hangat diperkatakan, saya katakan alhamdulillah bagus, tetapi apa guna kita boikot barangan Amerika jika jiwa kita masih jiwa Amerika. Boikot kan dahulu Amerika yang ada di dalam hati kita ini, itu lebih penting. Jika tidak, usaha boikot kita akan jadi seperti
hangat-hangat tahi ayam jer. Kalau nak bahasa sopan sikit seperti hot-hot chicken shit je

Mari kita kempen Boikot kehidupan Amerika yang menjajah diri kita selama ini.... dengan cara kita kembali buat kerja nabi... bawa kehidupan suci murni nabi di dalam kehidupan kita.

Saturday, January 17, 2009

Benarkah Dengan Kuasa Pemerintahan Islam Akan Tertegak?

Saat ini, dua parti politik utama melayu/Islam (PAS dan UMNO) sedang hebat bertarung untuk mendapatkan kuasa/pemerintahan di Kuala Terengganu. Kedua-dua dengan ideologi dan fahaman masing-masing.

Pas yang mendakwa Islam sebagai landasan perjuangannya, berjuang untuk mendapatkan kuasa pemerintahan kerana mendakwa dengan kuasa pemerintahan inilah nanti undang-undang Islam dapat ditegakkan. Hukum Hudud dapat dijalankan. Seterusnya matlamat PAS untuk menyebarkan syiar Islam dapat dilakukan dengan mudah di bumi Malaysia.

UMNO pula yang mendakwa kedaulatan Melayu sebagai landasan perjuangannya, berjuang untuk mendapatkan kuasa pemerintahan mendakwa dengan kuasa pemerintahan inilah kedaulatan Melayu dapat dipertahankan, Melayu itu Islam maka secara tidak langsung Islam juga dapat dipertahankan di bumi Malaysia.

Kedua parti ini telah bertarung agak lama. Bermacam-macam cacian, kafir mengkafir, fitnah memfitnah berlaku. Kedua-dua mendakwa berjuang untuk kepentingan Agama, Bangsa dan Negara.

Sekira benarlah kuasa dan pemerintahan atau apabila kita mendapat sebuah kerajaa, baru agama Islam dapat disebarkan, rasanya pastilah semasa 13 tahun di kota Mekah, nabi mulakan usaha dakwah dengan mendapatkan pemerintahan dahulu. Sebaliknya, nabi pernah ditawarkan jawatan pembesar, namun nabi tetap menolaknya. Kerana, itu bukan methodologinya.

Allah swt telah mengutuskan Nabi Musa as di zaman pemerintahan Firaun. Sekiranya benarlah kuasa dan pemerintahan itu asbab untuk agama tersebar, pastilah usaha pertama yang Nabi Musa as lakukan ialah menjatuhkan pemerintahan atau kerajaan Firaun. Sebaliknya, Nabi Musa tidak pun melakukan usaha menjatuhkan kerajaan Firaun, sebaliknya hanya mendakwahkan Firaun supaya beriman kepada Allah swt.

Begitu juga, Allah swt utuskan Nabi Ibrahim as di zaman pemerintahan Namrud. Sekiranya benarlah kuasa dan pemerintahan itu asbab untuk agama tersebar, pastilah usaha pertama yang Nabi Ibrahim as lakukan ialah menjatuhkan pemerintahan atau kerajaan Namrud. Tetapi tidak sama sekali, Nabi Ibrahim hanya usaha membawa Namrud supaya kenal akan penciptanya.

124 ribu (hanya Allah mengetahui) ambia as yang Allah utuskan ke muka alam ini, tidak ada satu pun nabi yang lakukan usaha untuk mendapatkan pemerintahan. Tiada nabi yang menjadikan kerajaan sebagai asbab untuk menyebarkan Agama Allah swt.

Nabi Sulaiman as mempunyai kerajaan yang besar, tetapi Nabi Sulaiman as tidak berusaha mendapatkan pemerintahan tersebut, sebaliknya Allah swt yang memberi pemerintahan/kerajaan kepada Nabi Sulaiman as.

Begitu juga, Nabi Yusuf as yang pernah menjadi menteri juga tidak berusaha mendapatkan jawatan menteri, sebaliknya jawatan tersebut yang datang kepada Nabi Yusuf as. Kita boleh rujuk Al Quran dan menapatkan kisah-kisah ini.

Justeru itu, dimanakah dalil yang menjadi keyakinan ummat hari ini, yang mendakwa bahawa hanya dengan kuasa pemerintahan baru agama dapat ditegakkan di muka bumi ini?

Mungkin ada yang mendakwa, nabi menubuhkan kerajaan Islam pertama di bumi Madinah dan di sambung oleh para sahabat r.hum. Soalanya sekarang, kita kaji pula sejarah, adakah nabi yang berusaha mendapatkan kerajaan atau kerajaan itu sendiri yang datang kepada nabi dan para sahabat?

Perlu diingat, Nabi tidak pernah menjatuhkan mana-mana kerajaan, Nabi dan para sahabat hanya membawa ummat ini supaya mengenali Allah swt, mengingati kehidupan akhirat, dan menukar fikir manusia daripada fikir dunia yang sempit kepada akhirat yang luas. Natijah daripada usaha nabi dan sahabat ini, iman manusia terbentuk dan akhirnya apabila iman ummat ini sempurna, nusrah/bantuan Allah datang dan pemerintahan jatuh di bawah tapak kaki para sahabat.

Sekarang kita lihat apakah asas perjuangan nabi untuk menegakkan ISLAM.

  1. Perjungan nabi bukan sekadar untuk sebuah negara, sebaliknya untuk seluruh umat hingga hari kiamat.
  2. Perjuangan nabi ialah untuk mengenalkan manusia kepada penciptanya.
  3. Perjuangan nabi supaya manusia sentiasa berusaha untuk mendapatkan keredhaan Allah.
  4. Perjuangan nabi tidak mencari musuh, tidak mencari dan menyebarkan aib orang, sentiasa melihat kebaikan orang lain, tidak mencaci dan mencerca.
  5. Perjuangan nabi dengan mengorbankan diri, harta dan masa untuk agama Allah tanpa memikirkan manafaat dunia.
  6. Perjuangan nabi hanya memikirkan bagaimana seluruh ummat hinggakan bayi yang terakhir sebelum kiamat dapat diselamatkan dari azab neraka dan memasuki syurga Allah.

Perjuangan inilah yang nabi ajar dan disambung oleh para sahabat r.hum. Sekarang kita renung, apakah perjuangan kita yang sebenar?

Adakah untuk sebuah negara atau untuk seluruh ummat?

Allah Maha Mengetahui.

Anda juga mungkin meminati:

Related Posts with Thumbnails