Monday, January 11, 2010

ADAKAH KITA SEKADAR MEREBUT NAMA ALLAH

Nampaknya isu penggunaan nama Allah masih belum reda lagi. Kejadian gereja di bakar makin menjadi, difahamkan sebanyak 7 buah gereja mengalami cubaan dibakar.

Perlukan kita melatah dalam isu yang seolah sengaja disensasikan ini. Penulisan ustaz Hambali di dalam blognya Al-alostari amat baik untuk kita renung bersama dalam menjawab persoalan isu nama Allah ini. Beikut apa yang beliau tuliskan...


Seminggu dua minggu ini di akhbar Arus Perdana, stesyen T.V tempatan malah berlebih lagi di internet hampir kebanyakan blogger politik pasti membincangkan berita sensasi berkaitan penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh penganut Kristian di Malaysia.

Ada di kalangan ulama kita yang menyokong dan ada di kalangan ulama yang menentang. Ustaz Harun Din , Ustaz Zaharuddin dan juga Ustaz Zamihan menentang penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh penganut Kristian di Malaysia. Manakala Ustaz Asri Zanul Abidin mantan Mufti Negeri Perlis serta beberapa orang ustaz-ustaz aliran Salafi Wahabi pula menyokong penggunaan kalimah ‘Allah’. Masyarakat awam jadi keliru, rata-rata memperkatakannya di masjid dan surau juga tidak ketinggalan di kuliah-kuliah di setiap masjid dan surau pasti isu ini disentuh oleh penceramah-penceramah agama. Malah di warung-warung kopi juga tidak ketinggalan memperkatakannya. Yang jelas orang awam menjadi keliru. Yang mana satu yang benar dan yang mana satu yang tepat?

Karkun-karkun yang biasanya tidak menyentuh persoalan politik semasa namun turut juga terheret memperkatakan isu yang sensitif ini. Yang menyedihkan ada di kalangan penulis blog politik Tanah Air turut mengutuk ulama yang tidak sefaham dengan pandangan mereka. Sebagai contoh ada di kalangan ustaz juga salah seorang penulis blog mengutuk Ustaz Harun Din dengan digelar sebagai ‘Ulama Kepala Lutut’. Ini amat menyedihkan gara-gara kalimat ‘Allah’, ulama telah dihina sebegitu rupa. Ringkasnya kita bertengkar dan bergaduh sesama Islam sedang pihak Kristian ke hulu ke hilir memikirkan bagaimana dakyah mereka boleh sampai kesasaran masyarakat Melayu Islam di Malaysia.

Di dalam kesibukan kita bercakaran sesama sendiri, mereka masuk kelorong-lorong sekitar taman-taman perumahan melihat bagaimana strategi mereka terhasil. Beberapa hari yang lalu sekumpulan beberapa orang asing yang berwajah ‘Mat Salih’ beserta beberapa orang lelaki dan perempuan tempatan (Cina dan India) dengan pakaian seperti ‘Nun’ masuk ke taman perumahan sekitar Senawang ,Seremban berjalan ke lorong-lorong yang tidak diketahui maksudnya. Namun gelagat mereka mencurigakan penduduk setempat. Apakah ini sebahagian daripada perancangan strategi mereka?

Ini lah yang menyedihkan. Kita masih lagi sibuk berdemontrasi dan berceragah namun disebaliknya pihak musuh memasang strategi tersembunyi. Di dalam situasi kemerosotan iman di kalangan masyarakat kita dengan berbagai kejadian trajis yang saban waktu terpapar di akhbar tempatan. Remaja-remaja yang telah runtuh akhlak dan moral dengan berbagai maksiat, dari tangkapan khalwat malam Tahun Baharu di hotel-hotel baget sampailah kepada amalan zikir ‘Black Metal’. Namun kita masih lagi mencari penyelesaian dengan demontrasi jalanan serta bergeseran sesama sendiri memberi hujah demi hujah membenarkan kalimah Allah digunapakai oleh penganut Kristian di Malaysia.

Kita berteriak agar Islam jangan dihina dengan penggunaan kalimat 'Allah' namun amalan asas agama masih lagi tercicir di dalam masyarakat kita. Kehadiran untuk Solat Suboh di masjid dan surau masih lagi boleh dikira dengan jari. Amalan bangun untuk Solat Malam dalam masyarakat hampir-hampir hilang. Yang bangun hanya beberapa kerat sahaja untuk menadah tangan di waktu Sahur dengan diiringi tangisan memohon keampunan kepada Allah atas kelalaian umat.

Penulis tidak bermaksud menghina dan mengondem mereka-mereka yang berdemontrasi namun itulah hakikatnya apa yang sedang berlaku di dalam masyarakat kita. Kelemahan kitalah yang menyebabkan musuh mengambil kesempatan atas ruang-ruang yang ada.

Bila British datang menakluki India suatu masa dulu, ribuan masjid telah di roboh dari Selatan India sehinggalah ke Utara India. Sepanjang perjalanan dari kawasan Selatan India pasti kita akan melihat dengan jelas kesan-kesan masjid yang diroboh. Menurut penduduk setempat sejumlah 2 ribu masjid telah diroboh oleh British di Selatan India, yang berbaki sekitar 2 ratus sahaja. Namun ketika itu masyarakat setempat memperkemaskan amalan masjid mereka sehingga menyebabkan ribuan kaum Hindu memeluk agama Islam. Ini terbukti apabila penulis sendiri pernah berada di sana pada tahun 1992. Ketika itu sekitar 9 buah kampong Hindu yang penduduknya telah memeluk agama Islam. Ianya satu kejutan buat pemerintah India ketika itu.

Ketika seorang Superintendent British di Delhi mengistiharkan bahawa Al-Qur’an di dalam simpanan masjdi-masjid di Delhi dibakar, Jutaan naskah Al-Qur’an yang berjaya dikumpulkan dan dibakar dikawasan awam di Delhi yang mana mendatangkan kemarahan Masyarakat Islam ketika itu. Namun tidak ada tindakan demontrasi oleh mereka di jalan-jalan. Apa yang ada, mereka memperkemaskan madrasah ‘Hafizul Quran’ seluruh India. Ketika acara pembakaran Al-Qur’an dilakukan oleh Superintendent British berkenaan, datang seorang Maulana yang telah tua beserta cucunya yang berumur sekitar 6/7 tahun mencabar Superintendent British berkenaan dengan katanya, “Tuan! Kamu boleh membakar jutaan naskah Al-Qur’an, namun tuan boleh lihat sekarang ini.” Ketika itu beliau meminta cucunya membaca beberapa lembaran Al-Qur'an melalui hafalan dan cucunya membaca dengan begitu lancar sekali sehingga memberi kesan pada mereka yang berada di situ.Lanjutnya beliau terus mencabar Superintendent British berkenaan dengan katanya, “ Tuan boleh membakar jutaan Al-Qur'an namun tuan tidak akan boleh membakar Al-Qur’an yang berada di dalam dada anak-anak kami.”

Lihat di sisi kita sekarang ini, apakah tindakkan yang kita ambil sekarang ini jalan terbaik memelihara kehurmatan kalimah ‘Allah’? adakah dengan demontrasi dan pembakaran 3 buah gereja satu jalan terbaik bagi meninggikan kalimah ‘Allah’? Namun dalam waktu yang sama kalimah ‘Allah’ itu hilang dari dada orang-orang Islam sekarang ini. Kehebatan kalimah itu pun telah lama hilang di hati kita.

Firman Allah swt, “Sesungguhnya orang-orang yang benar-benar beriman adalah mereka-mereka yang apabila disebutkan KALIMAT ALLAH gemetar hati-hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya kepada mereka, bertambah (kuat) iman mereka. Dan hanya kepada tuhan mereka, mereka bertawakal.” (Al-Anfal : 2)

Inilah sifat yang ada kepada sahabat Nabi saw ketika ayat ini diturun. Miski pun ketika itu masyarakat Arab Jahiliah mengakui Allah sebagai pencipta mereka, alam dan sebagainya. Ringkasnya mereka menggunakan kalimat ‘Allah’ ini di dalam perbualan mereka malah jika mereka bersumpah atas perkara yang berat dan hebat pasti mereka akan bersumpah dengan menggunakan kalimat ‘Allah’. Ini terbukti sebagaimana kata-kata Ubai bin Khalaf ketika bersumpah di hadapan pembesar Quraish. Semua ini tidak merubah amalan, akidah dan pegangan sahabat terhadap Islam. Malah Islam mendatangi hati-hati pemusuh Islam sehingga mereka berduyun-duyun memeluk agama Islam.

Saudara-saudaraku semua renunglah sejenak. Marilah kita kembali semula kepada amalan awal umat ini di dalam membentuk generasi Islam yang utuh. Kembali kepada amalan DAKWAH sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi saw dan sahabat rhum.

Wallahu’alam

sumber : klik di sini

Tuesday, January 5, 2010

1 Malaysia Fikir Tentang ALLAH




Maha Suci Allah.
Hari ini 1 Malaysia fikir tentang ALLAH.
Daripada Pak Aji di Kedai Kopi, hingga lah ke Pak Menteri di Sidang Parlimen, semua mula fikir tentang Allah.
Di ruang legar surau pak aji bercerita tentang Allah, di ruang legar coffee house Datuk Menteri juga bercerita tentang Allah.

Tapi agak-agaknya, dalam ramai-ramai yang mula bercerita tentang wajar atau tidaknya perkataan ALLAH digunakan oleh orang kafir, berapa ramai pula yang ingin bercerita tentang kehebatan dan keagungan ALLAH.

Berapa ramai pula yang ingin memperkatakan dan cuba mengamalkan seratus peratus PERINTAH-PERINTAH ALLAH.

Perintah ALLAH dalam imaniat,
Perintah ALLAH pada ibadat,
Perintah ALLAH pada muamalat,
Perintah ALLAH pada muasyarat dan
Perintah ALLAH pada akhlakiat.

Orang yang telah mengamalkan seratus peratus kehidupannya mengikut perintah-perintah ALLAH ialah baginda Nabi Muhammad SAW. Bagindalah yang telah mengamalkan 100% perintah ALLAH dalam kehidupannya.

Dan golongan yang telah mengikuti seratus peratus kehidupan baginda Nabi Muhammad saw pula ialah para sahabat r.hum. Golongan yang ALLAH swt sendiri redha ke atas mereka. Inilah 124 ribu para sahabat yang mengikuti 100% kehidupan nabi dan sama-sama berjuang untuk menegakkan agama ALLAH di permukaan alam.

Justeru itu, hari ini bila ramai mula fikir tentang ALLAH, marilah sama-sama kita fikir pula bagaimana untuk mengamalkan SERATUS PERATUS PERINTAH ALLAH dalam kehidupan kita.

Moga ALLAH pilih saya dan kita semua untuk mengamalkan 100% perintah-perintahNYA.
AMIN....

Monday, January 4, 2010

40 Hari Keluar Bersama Jemaah Pekak Bisu



Alhamdulillah, dengan izin Allah swt, satu jemaah terdiri dari 7 orang pekak bisu bersama 7 orang normal dapat dibentuk untuk membuat usaha agama selama 40 hari di sekitar markas Jitra dan Sg Petani.

Jemaah yang dibentuk pada 22/11/2009 dan tangguh pada 1/01/2010 ini telah membuat usaha di 12 buah masjid dan surau sekitar Sg Petani dan Jitra.

Pekak dan bisu, satu golongan yang kita sering sisihkan selama ni., tidak pernah kita fikir bagaimana pengetahuan agama perlu sampai kepada mereka. Amat menyedihkan sekali, golongan ini amat kehausan tentang pengetahuan agama. Amat mengejutkan sekali apabila didapati kebanyakan golongan pekak bisu ini beranggapan bahawa Allah swt adalah seorang lelaki. Apabila ditasmid kefahaman mereka tentang Allah, kebanyakan itulah jawaopan yang diberi. Ada yang mengatakan Allah lelaki, ada yang mengatakan Allah berjanggut, dan ada juga yang mengatakan Allah dan nabi muhammad adalah suami isteri. Input berkaitan agama tidak pernah sampai ke pengetahuan mereka selama ini. Begitu sedih sekali.

Apabila diceritakan kepada mereka kisah Nabi Musa, mereka begitu terpesona sekali. Bayangkan, umur mencecah 30 tahun, tidak pernah mendengar kisah Nabi Musa dan Firaun. Juga dalam umur sedemikian, mereka langsung tidak mengetahui bahawa adanya azab kubur.

Inilah satu takaza (tanggungjawab agama) yang perlu kita fikir bersama.


Saturday, November 21, 2009

Hari ni Keluar 40 Hari...

Sedar tak sedar, masa cepat betul berlalu. Dah hujung tahun dah. Hari ni bermulanya cuti sekolah. Dan seperti biasa, tiap kali cuti sekolah aku akan habiskan masa untuk berada di jalan Allah swt 40 hari. InsyaAllah, dengan izin Allah jua, malam ni, beberapa jemaah akan mula bertolak dari markas Ipoh untuk ke Sri Petaling. Hidayat seluruh alamm

Dan macam biasa jugak ler...tiap kali nak keluar ni, ramai ler member2 kat sekolah, sedara mara, ipar duai dok sibuk tanya...kenapa perlu tinggalkan anak isteri selama 40hari. Tak kesian ker kat isteri dan anak2.... so, harap2 penulisan kali ni, yang bersandarkan pada kitab Kemunduran Umat dan Penyelesaiannya oleh Maulana Muhammad Ihtishamul Hasan...akan dapat menjawab serba sedikit persoalan tersebut.

Jika melihat kepada lembaran sejarah sekitar 1400 tahun yg lalu, umat Islam adalah pemilik tunggal kemuliaan, keagungan, kegemilangan, kebesaran dan kehebatan. Namun, jika kita perhatikan umat Islam dewasa ini, kita akan nampak bahawa kita berada dalam keadaan yg sangat hina, lemah dan tidak mengetahui apa-apa, tanpa kekuatan dan kehebatan, tanpa harta dan benda, tanpa ketinggian dan kemuliaan, tiada lagi perasaan persaudaraan dan kemesraan. Perangai dan budi pelerti kita tidak baik, akhlak juga tidak baik...malah segala keburukan telah wujud dalam diri ummat ini dan kita telah jauh daripada kebaikan.

Hakikat sebenarnya, ialah sehingga ke hari ini, penyakit kita belum dikenalpasti (diagnos) secara sempurna. Beberapa perkara yg dinyatakan sebagai penyakit yg kononnya telah menyebabkan kejatuhan kita, bukanlah penyakit yg sebenar, tetapi hanyalah gejala sampingan. Oleh itu, selagi tumpuan tidak diberikan kepada penyakit yang sebenar serta rawatan unsur2 nya tidak dijalankan, maka pemulihan ke atas gejala2 sampingan bukan sahaja tidak mungkin terlaksa malahan menjadi mustahil. Oleh itu, selagi kita tidak betul2 mengenal pasti penyakit dan tidak mahu mengetahui cara rawatannya yang sebenar maka sebarang perbincangan untuk mengislahkan umat adalah satu kesilapan yang besar.

Kita mendakwa bahawa syariat kita adalah undang2 Allah swt yang sempurna yang menjamin kejayaan dan kesejahteraan urusan dunia dan agama kita sehingga hari kiamat. Oleh itu, tiada alasan untuk kita mengenal pasti penyakit kita dengan akal dan fikiran sendiri serta mula mengubati penyakit itu. Sebaliknya, kita perlu mengenalpasti penyakit tersebut berpandukan Al Quran dan mengetahui cara rawatan daripada sumber petunjuk dan hidayat yang sama, kemudian terus melaksana rawatan tersebut. Apabila Al Quran sendiri merupakan perlembagaan hidup kita yg sempurna hingga ke hari kiamat maka tiada alasan untuk mengatakan al quran tidak mampu memberi pimpinan kepada kita dalam masalah yang genting ini.

Jika kita perhatikan, satu janji daripada Allah swt ialah pemerintahan dan khalifah di muka bumi ini adalah sebenarnya untuk orang Islam, sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat berikut :

"Allah menjanjikan orang yang beriman dan beramal soleh dikalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa dia akan menjadikan mereka khalifah2 yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa...." (an-Nur : 55)

Allah swt juga telah meyakinkan kita bahawa orang mukmin sentiasa akan menguasai orang kafir dan mereka (orang kafir) tidak akan mempunyai sebarang pertolongan dan pembantu sebagaimana dalam ayat berikut :

"Dan sekiranya orang kafir memerangi kamu tentulah mereka akan berpaling melarikan diri dengan kekalahan, kemudian mereka tidak akan beroleh sesiapa pun yang menjadi pelindung atau pemberi pertolongan." (al-Fath : 22)

Pertolongan dan bantuan kepada orang mukmin adalah dalam tanggungjawab Allah swt dan merekalah yang sentiasa tinggi dan mulia di dunia ini. Firman Allah swt :

"Adalah sememangnya menjadi tanggungjawab Kami menolong orang yang beriman." ( Rum : 47)

"Dan janganlah kamu berasa lemah (dalam perjuangan mempertahankan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa2 yang menimpa kamu), padahal kamulah orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang yang (benar-benar) beriman." (ali Imran : 139)

"padahal bagi Allah swt jualah kemuliaan dan kekuatan itu bagi Rasulnya serta bagi orang yang beriman akan tetapi golongan yang munafiq itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenar)" (al- Munafiqun : 8)

Dengan merenung firman2 Allah swt tersebut, dapat diketahui bahawa kemuliaan, kehebatan, ketinggian serta setiap kebesaran dan kebaikan orang Islam bergantung kepada sifat keimanan mereka. Sekiranya hubungan mereka dengan Allah swt dan Rasulnya mantap (yang merupakan tujuan iman) maka segala-galanya menjadi milik mereka. Sebalinya, jika dalam hubungan itu terdapat kekurangan maka natijahnya tidak lain kecuali kerugian dan kehinaan semata-mata sebagaimana yang telah dinyatakan sejelas-jelasnya dan ayat berikut:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar." (Al-Asr)

Sekrang, perkara yang paling penting untuk direnungi ialah, jika memang kita kehilangan hakikat Islam, yang merupakan sumber kejayaan dan kebaikan kita di dunia dan akhirat maka kita harus tahu punca2 yang menyebabkan roh Islam tersebut terkeluar daripada diri kita. Lalu menjadikan kita bagaikan satu jasad yang tidak bernyawa.Kita juga harus mengetahui cara2 agar nikmat yang sudah hilang itu dapat dikembalikan.

Apabila kita membaca al Quran, dan kita meneliti sebab2 kelebihan dan keutamaan umat ini, maka kita akan mendapati bahawa umat ini telah diberikan satu tugas yang tinggi dan mulia. Tugas ini menyebabkan umat ini dikurniakan dengan gelaran yang mulia iaitu sebaik-baik umat.

Maksud sebenar daripada ciptaan dunia ini adalah supaya manusia mengenali zat Allah swt yang Maha Esa dan sifat-sifatNya. Maksud tersebut tidak mungkin akan tercapai sehinggalah keturunan manusia dibersihkan daripada segala kekotoran dan kekejian, kemudian dihiasi dengan kebaikan dan keelokan. Untuk maksud inilah ribuan nabi dan rasul telah diutuskan oleh Allah swt. Akhirnya untuk menyempurnakan maksud tersebut, Saiyyidul-Anbia Wal-Mursalin, nabi Muhammad saw telah diutuskan dan berita gembira telah diperdengarkan seperti firman Allah swt di bawah ini :

"Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan aku telah cukupkan nikmatKu kepadamu dan Aku telah reda bahawa Islam itu menjadi agama untuk kamu." (al-Maidah : 3)

Jadi, oleh kerana maksud tersebut telah disempurnakan, setiap kebaikan dan keburukan juga telah diterangkan dengan sejelas-jelasnya serta peraturan hidup yang lengkap diberikan kepada kita maka salasiah kenabian dan kerasulan telah ditamatkan. Sehubungan dengan itu, tugas yang dahulunya dilaksanakan oleh para rasul dan nabi telah diserahkan kepada umat Muhammad saw sehingga ke hari kiamat. Firman Allah swt :

"Kamu (wahai umat Muhamad) adalah sebaik-baik umat yang telah dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji)." (Ali-Imran : 110)

"Dan hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian itulah orang yang berjaya." (Ali Imran : 104)

Dalam ayat yang pertama di atas, telah dinyatakan bahawa kedudukan kemu sebagai sebaik-baik umat adalah kerana kamu menyuruh berbuat baik dan mencegah daripada keburukan. Dalam ayat kedua pula telah dinyakan dengan secara khusus bahawa kejayaan dan kebaikan hanya untuk orang yg melakukan kerja ini (amr-bil-ma'ruf dan nahi-'anil-mungkar).
Bukan setakat itu sahaja, malahan di tempat2 lain daripada al Quran dinyatakan dengan jelas bahawa tidak menjalankan kerja tersbutlah menjadi punca kelaknatan dan kemurkaan Allah swt seperti firmanNya:

"Orang kafir Yahudi daripada Bani Israil telah dilaknat (dalam kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam a.s. Justeru, mereka derhaka dan selalu menceroboh. Mereka tidak saling melarang (sesama sendiri) terhadap perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh) yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruk perkara yang mereka telah lakukan." (al-Maidah : 78 & 79)

Kesimpulannya,
usaha amr-bil-ma'ruf dan nahi-'anil-mungkar adalah satu rukun agama yang besar. Malahan, setiap bahagian daripada agama ada kaitan dengannya. Justeru, untuk menyempurnakan tugas tersebut Allah swt telah mengutuskan kesemua nabi dan rasul a.s. Sekiranya tugas amr-bil-ma'ruf dan nahi-'anil-mungkar tidak diberi perhatian dan ditinggalkan terus dari segi ilmu dan amalan maka nubuwah (kenabian) tidak akan berguna lagi. Kesan daripada itu, sifat amanah, yang menjadi sifat utama kemuliaan manusia akan pupus dan binasa, sifat malas (untuk beribadat) akan tersebar, jalan2 kesesatan dan penyelewengan akan terbuka luas, kejahilan akan berleluasa di alam ini, semua urusan akan mengalami kerosakan, perpecahan antara satu sama lain akan berlaku, masyarakat akan rosak dan makhluk keseluruhannya akan binasa.

Sungguh menyedihkan, bahaya yang difikirkan itu sekarang sudah nyata berada di hadapan kita.

Dan hari ini...
Tugas kenabian ini telah dipertanggungjawabkan kepada kita selaku umat nabi. Kitalah diamanahkan untuk menyambung kerja-kerja amr-bil-ma'ruf dan nahi-'anil-mungkar. Dan disinilah terletaknya kemuliaan kita selaku umat yang terbaik.

Persoalannya...
bagaimanakah kita perlu menjalankan kerja ini? Allah swt telah turunkan Al Quran dan Nabi Muhammad saw telah menunjukkan jalan untuk penyempurnaan amalan al Quran.

Justeru itu, untuk menjalankan kerja ini juga, kita kena melihat bagaimana Nabi menjalankan kerja tersebut. Di sinilah terletaknya kejayaan.

Kerja ini perlu dijalankan di cara yang ditunjukkan oleh nabi saw, bukan dengan menggunkan akal kita sendiri kerana akal kita tidak mampu unutk menjalankan kerja yang begitu mulia ini.....

Hasil daripada usaha fikir dan risau Maulana Elyas di benua India sekitar tahun 1920-an, beliau telah bangunkan satu usaha yang mirip2 kerja dakwah yang dilakukan oleh nabi dan para sahabat, iaitu dengan membuat pengorbanan harta, diri dan masa untuk berada di jalan Allah swt.

Natijah daripada usaha beliau..hari ini, kita lihat di seluruh pelusuk dunia jemaah2-jemaah bertebaran untuk membuat usaha dakwah dan tabligh.

Atas maksud itulah, insyaAllah aku akan turut keluar..... doa untuk seluruh ummat...insyaAllah


Tuesday, November 17, 2009

InsyaAllah 21/11/09 Aku Keluar 40 Hari

Rasanya dah lama aku tak update blog aku ni. Tak tau ler kenapa dan mengapa... Nak kata sibuk, memang ler sibuk jugak...tapi rasanya aku ni lebih menyibuk daripada sibuk!!!

Kalau sibuk dengan usaha agama, alhamdulillah ler jugak, tapi aku ni disibukkan (baca dengan menyibukkan diri) dengan urusan2 dunia. Dah ada satu kerja tetap, sibuk nak buat part time jadi IM konon, sampai aku sendiri dah takder time. Sibuk untuk membesarkan dunia. Kata orang2 alim kita, tanda Allah swt sayangkan kita, Allah akan sibukkan kita dengan kerja2 agama., tetapi apabila Allah swt sibukkan kita dengan urusan2 dunia...sendiri mau faham ler.

Tak tau ler, sejak dua menjak ni, fikir aku pun dah banyak lari. Cerita pun dah banyak cerita dunia daripada cerita akhirat. Betul-betul iman dah kamzur bai. Bila terbaca hadis ni, baru tersentak, betul -betul ler hadis ni dah terkena kat batang hidung aku. sendiri..(patut ler elders kita suruh hidupkan taklim kat rumah....kurang2 nya, bila iman kamzur, terdengar taklim..naik ler sikit jazbah agama)...

Hazrat Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, " Apabila umatku membesar-besarkan dunia maka akan dicabut daripada mereka kehebatan Islam dan apabila mereka meninggalkan amr-bil-ma'ruf dan nahi-'anil-mungkar, mereka akan kehilangan keberkatan wahyu dan apabila mereka caci-mencaci antara satu sama lain mereka akan gugur daripada pendangan Allah swt"

Benarlah apa yang disabdakan oleh baginda nabi saw. Bila kita membesarkan dunia, memang tanpa kita sedari, kehebatan Islam tercabut dari hati kita. Bila kehebatan agama tercabut dalam diri, mulalah kehebatan dunia pun melekat ler kat hati. Keyakinan kita pun mula hancusss.... Mula yakin dengan asbab...yakin dengan duit...yakin dengan makhluk akan menyelesaikan masalah. Teringat nasihat2 dari Maulana Saad, "tiada janji Allah melalui asbab, sebaliknya janji2 Allah hanya terletak dalam amal." Namun kerana kita ni (aku ler terutamanya), iman ikut suasana. Kalau semasa di Nizamuddin, semasa berada di jalan Allah, bila suasana agama berada di sekeliling kita...kata2 tersebut mudah melekat di hati. Keyakinan dapat terbentuk dengan mudah. Tetapi bila berada dalam suasana yang jauh dari memperkatakan tentang usaha agama...sedikit demi sedikit keyakinan ini hilang. Mulalah yakin dengan asbab. Yakin dengan duit akan datangkan segala-galanya. Satu demi satu amalan agama akan tertanggal dari dalam diri. Semua amalan agama nampak susah... tapi masa zaman josh(jasbah agama yang tinggi) dulu.. cakap apa sahaja..taskel bila-bila masa, dimana2 sahaja, dengan sesiapa sahaja, semuanya akan jadi mudah.

Beginilah rutin alam. Kehidupan bagai roda. Hati mudah terkesan dengan suasana. Kalau dulu, kita datang ke rumah orang, khususi karkun lain, taskel untuk keluar di jalan Allah swt.... sekarang ni pulak, jemaah taskel pulak jumpa aku...khususi untuk taskel(walau dengan hikmah..datang sekadar ziarah...tak taskel pun...namun...nampak muka jemaah taskel dah faham dahhhhhh.....).

Atas maksud inilah, insyaAllah sabtu ni 21/11/2009 Aku akan keluar di jalan Allah swt. Syura taskel aku agar keluar Negara Jiran (tahun lepas keluar 40hari masturat India - dikira dalam negeri) so tahun ni patutnya keluar Negara Jiran...tapi sebab keadaan iman yg tengah lemah ni... keluar semenanjung pun kira ok ler kot (iystifar banyak2)...... InsyaAllah, aku tafakut pada sabtu lepas, diputuskan aku untuk bersama ngan jemaah bisu. Tak kisah ler, jemaah bisu ke, jemaah pekak ker, jemaah foreign ker, jemaah student ker.... apa yang penting...aku perlu berada di jalan Allah swt....

Doa karo.....



Thursday, July 16, 2009

Satu Catatan Untuk Rakan Seusaha

Sesuatu yang perlu difikir bersama oleh rakan-rakan yang membuat usaha agama.

(karkuzari ini saya dengar dari salah seorang jemaah taskil Seri Petaling)

Sebelum ijtimak Malaysia diadakan, Maulana Shauqat Ali telah datang ke Malaysia bersama jemaahnya untuk keluar 40 hari. Jemaah ini dihantar khas untuk persiapan ijtima'. Jemaah ini telah pergi ke setiap markas-markas di seluruh Malaysia, memberi targhib dan zihin agar semua rakan seusaha di seluruh Malaysia faham maksud sebenar ijtima' diadakan.

Rakan seusaha perlu tingkatkan pengorbanan, amal masjid perlu ditingkatkan agar dapat dibentuk jemaah-jemaah yang banyak untuk keluar di jalan Allah sebelum dan selepas ijtima' diadakan.

Pada hari khamis hari bermulanya istima', Maulana Shauqat Ali telah berjumpa dengan Maulana Zubir dan Maulana Saad dalam suasana pilu, dengan tangisan beliau telah salam mencium tangan dan mencium dahi maulana Zubir, lalu beliau katakan beliau gagal dalam usaha selama 40hari di Malaysia. Usaha untuk mengeluarkan jemaah sebelum dan selepas ijtima' tidak tercapai seperti mana yang diharapkan.

Pada hari ahad(hari penutup ijtima'), selepas bayan hidayat jemaah yang dapat dibentuk hanya 228 jemaah sahaja.
2 jemaah setahun, 48 jemaah 4bulan dan selebihnya jemaah 40 hari.
Difahamkan, selepas itu, hingga hari selasa masih ada beberapa jemaah lagi yang dapat dibentuk.

Sedangkan, target yang kita berikan pada eldest di Nizamuddin kita akan usaha agar dapat dibentuk lebih 1000 jemaah....

Memetik kata-kata Haji Abdul Wahab (Bai Wahab), hari ini kita semua kena banyakkan istighfar (istighfar Nabi Yunus semasa dalam perut ikan Nun) kerana saya telah cuai dalam usaha ini.

Kita boleh berbangga dengan kehadiran yang di luar jangkaan (target paling ramai pun 100 ribu, tetapi kehadiran 200 ribu). Kita juga boleh berbangga kerana suasana prasarana amat memuaskan, Khemah dan tandas agak selesa juga.

Kita juga boleh berbanggsa kerana ijtima' ini telah dihadiri oleh pembesar-pembesar negara dan mendapat liputan yang begitu meluas di media massa.

Namun begitu, kita kena rasa bersalah kerana maksud asal usaha ini untuk mengeluarkan jemaah yang banyak tak dapat tercapai. Hanya sekitar 10% yang hadir ijtima' keluar dijalan Allah.

Moga Allah s.w.t ampunkan saya yang tidak dapat sambut takaza untuk keluar di jalan Allah apabila di taskil semasa ijtima' tersebut.



Monday, July 13, 2009

Intipati Bayan Ijtima' Malaysia 2009


Alhamdulillah, Syukur ke hadrat Allah S.W.T berjaya juga ummat Islam berkumpul di bumi Malaysia dalam satu perhimpunan ummat Islam (ijtima')yang diadakan pada 10, 11 dan 12 Jun 2009 di Nilai Negeri Sembilan. Mengikut laporan beberapa media massa, menganggarkan kira-kira 200 000 ummat Islam yang hadir semasa ijtima' yang diadakan selama 3 hari tersebut. boleh rujuk utusan malaysia

Beberapa pemimpin negara juga hadir termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengalu-alukan kedatangan umat Islam dari seluruh pelusuk dunia.




Namun begitu, apa yang lebih penting, maksud Ijtima' diadakan adalah bukan sekadar untuk mengumpulkan manusia yang ramai, mendengar bayan (ceramah) yang hebat-habat atau untuk mendapat publisiti di media massa untuk menunjukkan betapa hebatnya usaha ini.

Maksud Ijtima' diadakan adalah untuk menyediakan manusia agar dapat mengambil kerja nabi (kerja dakwah) menjadi maksud kehidupan mereka yang sebenar.

Berikut beberapa kupasan yang dapat dibuat daripada bayan-bayan (ceramah) yang diadakan sepanjang Ijtima' diadakan.

1) Bersama Ambia' Adanya Usaha Agama

Allah s.w.t telah utuskan para ambia' untuk menunjukkan kepada manusia maksud kehidupan mereka yang sebenar. Kerana itulah, apabila Allah s.w.t utuskan para ambia' bersama nabi atau rasul tersebut adanya usaha agama. Semua nabi-nabi membuat usaha agama. Dan usaha mereka hanya satu iaitu membawa tauhid yang betul kepada Allah s.w.t.

Nabi-nabi dan rasul hanya membawa manusia supaya mengenal kepada penciptanya iaitu Allah s.w.t pemilik kerajaan langit dan bumi.

2) Nabi Muhammad s.a.w juga membuat usaha agama.

Apabila nabi Muhammad s.a.w menerima nubuwah kenabian, nabi s.a.w telah menjalankan usaha agama sepenuh masa. Pagi petang siang malam baginda nabi s.a.w hanya fikir dan risau bagaimana agama ini akan berkembang, agama akan memasuki setiap rumah-rumah batu, rumah-rumah kayu dan bagaimana semua manusia hinggakan bayi yang terakhir lahir sebelum kiamat juga dapat mengamalkan agama yang sempurna dalam kehidupan mereka.

Nabi s.a.w telah usahakan supaya manusia nampak betapa dengan amalan-amalan agama yang diperintahkan oleh Allah s.w.t ini, manusia akan beroleh berbagai faedah demi faedah dan kejayan demi kejayaan.

3) Nabi Muhammad s.a.w telah menyediakan sahabat untuk menjalankan usaha agama

Nabi s.a.w bukan sekadar mengajar agama, sebaliknya baginda nabi s.a.w telah menyediakan sahabat untuk menjalankan usaha atas agama. Di sinilah kejayaan dan kemuliaan ummat Muhammad s.a.w, ummat yang terakhir tetapi masuk syurga lebih awal. Ummat ini dimuliakan kerana bersama ummat ini adanya usaha agama.

Kerana itulah, apabila Baginda nabi Muhammad s.a.w wafat, agama terus berkembang kerana usaha agama telag disambung oleh para sahabat r.hum

4) Masalah Ummat Hari ini ialah mereka tidak Yakin Dengan Usaha Agama

Manusia akan yakin kejayaan akan diperolehi daripada apa yang diusahakan. Sebagai contoh, seorang peniaga yang mengusahakan atas perniagaannya akan yakin bahawa perniagaannya itulah yang akan membawa kejayaan kepadanya. Begitu juga bagi seorang peladang yang mengusahakan atas ladangnya, akan yakin bahawa ladangnyalah yang membawa kejayaan.

Oleh kerana itu, apabila manusia tidak membuat usaha atas agama, natijahnya manusia tidak nampak betapa dengan agama inilah segala kejayaan akan diperolehi.. kejayaan di dunia juga kejayaan di akhirat.

Apabila manusia tidak nampak faedah atau kejayaan yang akan diperolehi atas amalan-amalan agama, akhirnya manusia hari ini mudah terkesan dan meyakini terhadap asbab-asbab dunia sahaja.

Apabila ummat Islam melihat orang kafir usaha atas nuklear, dan mereka beroleh kejayaan, dengan nuklear, ummat Islam pun mula usaha atas nuklear. Apabila orang kafir membuat usaha atas ekonomi, dan mereka seolah beroleh kejayaan melalui ekonomi, ummat Islam pun mula membuat usaha atas ekonomi. Apabila orang kafir membuat usaha atas negara, dan mereka nampak seolah berjaya dengan memperolehi sebuah kerajaan dan negara, ummat Islam pun usaha untuk mendapatkan pemerintahan dan negara.

Menurut Maulana Saad, Manusia tidak yakin bahawa dengan amalan agama manusia akan beroleh kejayaan kerana kita telah meninggalkan usaha agama. Para sahabat r.a sepanjang masa mereka membuat usaha atas agama, kerana itu mereka sentiasa yakin bahawa kejayaan, keharmonian, ketenteraman dan ketenangan hanya ada pada amalan agama.

Atas maksud itulah, untuk membetulkan kembali ummat ini, ummat Islam hari ini perlu kembali untuk sama-sama bangunkan usaha atas agama.

2) Usaha Agama Bagaikan Jenazah Tidak Berwaris

Apabila manusia tidak lagi nampak faedah atau kelebihan daripada amalan-amalan agama, akhirnya Ummat Islam sendiri telah tidak menghiraukan usaha agama. Jadilah usaha agama (satu usaha yang telah ditingalkan oleh baginda nabi s.a.w) seperti jenazah yang tidak berwaris.

Sekiranya terdapat satu jenazah tidak berwaris, kita akan usaha mengusung jenazah tersebut sekadar 'melepas batuk ditangga sahaja'. Sebaliknya, sekiranya jenazah tersebut mempunyai hubungan dengan kita, kita mengusungkan dengan bersungguh-sungguh.

[InsyaAllah akan bersambung di bahagian ke-2]


Anda juga mungkin meminati:

Related Posts with Thumbnails